Itule fasal.. Ada ke aku kesah??? Ada ke orang lain kesah???

Sunday, October 30, 2011

Antara mengendap + mengintai + meninjau = skodeng..

Bunyi motosikal yang bingit menarik perhatian aku. Maka dengan perasaan ingin tahu yang amat menebal, lalu aku mulalah meninjau-ninjau di sebalik tirai. Siapalah gerangannya si empunya motorsikal yang bunyinya mengalahkan enjin bot tersangkut rumpai laut.. Hmm... tak dapat pulak kelibat makhluk perosak ketenangan itu. Dek kerana tak puas hati dan tak senang hati, maka aku mulalah beralih dari episod meninjau-ninjau kepada episod lebih tinggi iaitu mengendap.

Seronok betul kalau bercakap fasal mengendap ni. Bukan semua orang ada kepakaran ini. Dalam erti kata lain, kepakaran ini perlu dipelajari.  Mengendap ini ada banyak kategori. Kategori pertama ialah mengendap untuk mendapatkan maklumat, yang kedua mengendap untuk mengetahui atau mengesahkan maklumat dan yang ketiga ialah untuk orang yang tak ada fasal apa-apa dan yang terakhir ialah mengendap sebagai satu hobi. Fuhh... yang terakhir itu yang seronoknya. Nak nak pulak kalau mengendap melalui celah-celah lubang dinding papan. Aktiviti ini perlu dilakukan pada waktu yang sesuai dan tempatnya mestilah strategik. Waktu lewat malam adalah waktu yang cukup sesuai dan lumayan dapatannya. Lokasi??? Hmm... kawasan bilik air, bilik anak dara, bilik kelamin dan mana-mana kawasan yang sewaktu dengannya.

Mari kita tinjau hobi ini dari sudut hipotesisnya. (Wahhh... 'cayalah'. Siap hipotesis tu... ilmiahnya...). Hipotesis pertama: wujudnya signifikan antara jantina dengan lokasi  mengendap yang dipilih , hipotesis kedua ialah adanya signifikan antara sikap ingin tahu pengendap dengan strategi mengendap yang digunakan.

Dapatan kajian membuktikan bahawa pernah ada kejadian mengendap ini.  Contohnya dalam Hikayat Malim Deman berlaku kes ini "...tua yang teramat burok-nya membawa sa-baur kail lalu mengendap perlahan-lahan ka tempat kain layang dan baju layang..." (kes Malim Deman mengendap untuk mencuri pakaian puteri tujuh yang sedang mandi) - Malim Deman kan ke lelaki.. signifikankan??? Kes 2 pula dalam Cherita Jenaka "... barangkali Pak Belalang itu mengendap mendengarkan kisah itu ..." (Kes Pak Belalang  mengendap untuk mendapatkan maklumat tentang rahsia penyamun) - Pak Belalang pun lelaki juga...
Dapatan akhbar terkini pulak "Pada hari sabtu jam 8 malam, Lazim mengendap di tepi pangsapuri yang diduduki Nafisah..." dan ada satu lagi :... lelaki hidung belang mengendap ke dalam bilik Rose Fatimah..."

Dalam erti kata lain, kes mengendap ni dari dulu sampai ke hari ini memang menjadi hobi kaum lelaki. Ala.. setakat dapatan dua tiga kerat macam ni mana boleh buktikan apa-apa ye tak? Kalau dulu, peralatan yang digunakan untuk mengendap cuma lidi tak pun besi sebab nak buat lubang mengendap. Kain pelekat mesti ada sebab nak tudung kepala daripada dikenal pasti identitinya. (Kain pelekat pun sinonim ngan lelaki juga kan kan..?) dan senjata untuk mangsa yang dihendap ialah air panas dan kalau ada perisa pun cuma ditambah dengan perisa cabai dan satu lagi senjatanya ialah 'suara' kena kuat sebab nak jerit minta tolong tak boleh berbisik. Wah.. dahsyatnya...

Zaman sekarang pula kalau dibuat perbandingan dah jadi hebat. Dek kerana ada iklan " pertanian adalah satu perniagaan" maka slogan ini diguna pakai oleh kaki-kaki pengendap hari ini. Nama ditukar kepada 'skodeng' dan slogannya " skodeng sebagai satu perniagaan". Maka dengan berpandukan kepada slogan yang bervisi utamanya keuntungan, maka tapak skodeng sekarang menjadi semakin luas. Lokasi merata-rata dan tak payah bersusah payah menampar nyamuk sebab dengan kepesatan sains dan teknologi akan mengaktifkan minda untuk lebih kreatif dan inovatif. Tidak hairanlah hari ini berlambak-lambak hasil 'skodengan' dipasarkan sebagai sesuatu yang menguntungkan. Malahan, kajian menunjukkan bahawa hobi baru ini mampu menjadikan kaki-kaki skodeng jutawan dalam sekelip mata.

Nampak gayanya.. hipotesis baru kena dikenal pasti dan kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk mendapatkan analisis kajian yang tuntas dan signifikan..

Dengan dapatan baru ini, maka aku pun mula dapat rasakan keadaan menjadi tidak selamat lagii.... Alahai... Itulah fasal...

No comments:

Post a Comment